counter.bloke.com

UCAPAN MAHFUZ OMAR DALAM PARLIMEN PADA 13 APRIL 2000

RAKYAT SEBENARNYA TIDAK BERPECAH

Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua. Kerajaan telah memulakan langkah terhadap perubahan struktur ekonomi negara kita dari p-ekonomi kepada k-ekonomi. Ilmu pengetahuan dan maklumat yang menjadi teras kepada k-ekonomi sepatutnya boleh membantu kepada pengukuhan sistem demokrasi di dalam negara kita. Tetapi apa yang sedang berlaku di dalam negara kita seolah-olah kerajaan sedang mengemukakan satu master plan kepada rakyat dalam usaha untuk menguruskeringkan lagi demokrasi di negara ini. 

Di manakah Melaka baru-baru ini, Ketua Menteri yang menjadi badut kepada Barisan Nasional melakukan perkara yang paling lawak dan lucu dalam tempoh 43 tahun sejarah kemerdekaan negara ini. Belum pernah berlaku kerajaan mengenakan sekatan secara langsung terhadap orang-orang yang menyokong parti pembangkang, mengeluarkan RM40 juta daripada Bank Islam dan Bumiputera Commerce Bank kerana ada staf bank kononnya menyokong parti pembangkang adalah sangat bercanggah dengan amalan demokrasi.

Saya mencabar kerajaan negeri Melaka untuk membuktikan siapakah yang membocorkan rahsia tersebut dan jika benar ada, mengapakah individu tersebut tidak didakwa sebaliknya bank yang menjadi mangsa. Mengapa doktor panel, peguam panel, kontraktor bumiputera disenarai hitamkan untuk kepentingan UMNO dan Barisan Nasional. Adakah menjadi kesalahan di negara kita sekarang ini, seseorang itu jika ianya condong untuk menyokong kebenaran yang dibawa oleh pembangkang di negara kita. Minggu lepas sekali lagi Ketua Menteri Melaka yang menjadi badut Barisan Nasional melarang pula agensi kerajaan Barisan Nasional mengadakan lawatan rasmi ke Kelantan dan Terengganu. Inilah tindakan yang paling ‘lok-lak’ dalam dunia. 

Tuan Yang di-Pertua, para pemimpin Barisan Nasional sekarang ini begitu rancak membincangkan isu perpecahan yang kononnya berpunca daripada PAS. Saya hendak memperingatkan Dewan yang mulia ini bahawa rakyat Malaysia sebenarnya tidak berpecah-belah, yang berlaku hanyalah perbezaan fahaman politik yang sebenarnya diizinkan oleh Perlembagaan kita sendiri. Adalah sangat sempit jika kita mengatakan orang Melayu yang berpecah kerana menyokong Barisan Alternatif BA dan sebahagian yang lain menyokong UMNO. UMNO hanya disokong dan diundi oleh orang Melayu hanya 36%, diakui sendiri dalam kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar. 

Adalah sangat sempit jika kita mengatakan orang Melayu berpecah kerana sebahagian menyokong Barisan Alternatif dan sebahagian kecil lagi menyokong UMNO dan Barisan Nasional. Begitu juga kaum China yang menyokong DAP, MCA dan Gerakan, bukanlah gambaran perpecahan tetapi ialah gambaran kematangan rakyat untuk berfikir, menilai, meneliti dan akhirnya berubah daripada kezaliman kepada kebenaran. Allah mengingatkan kita dalam firmannya yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, tolong menolonglah kamu ke arah kebaikan dan janganlah bertolongan untuk melakukan perkara yang keji dan permusuhan". 

UMNO dan Barisan Nasional cuba menggambarkan kepada rakyat bahawa perubahan daripada menyokong UMNO kepada menyokong PAS adalah sesuatu perpecahan dan PAS dilabelkan sebagai agen ejen perpecahan tersebut. Pada hemat saya, adalah sangat memalukan apabila kita mengatakan satu perpaduan, bila kita sama menyokong kezaliman, dan kita mengatakan satu perpecahan apabila rakyat berubah daripada kezaliman kepada kebenaran. 

Jika dikatakan wujudnya perpecahan, saya ingin mengajak Dewan yang mulia ini untuk melihat sendiri kembali sejarah perpecahan yang dikatakan berlaku perpecahan di kalangan umat Melayu berlaku semenjak merdeka. Siapakah yang menjadi agen kepada perpecahan. Perpecahan sebenarnya bermula apabila UMNO menerima dan membawa masuk sekularisme untuk bersaing dengan Islam yang telah dipegang kukuh oleh umat Islam di negara ini. Almarhum Tunku Abdul Rahman dalam bukunya sebelum dan selepas 13 Mei, pernah menyebut secara serius mengatakan bahawa Dr. Mahathir yang kini menjadi Perdana Menteri, turut memainkan peranan menyumbang kepada perbalahan kaum pada waktu itu. Malah bukan sahaja Malay Dilemma kata Tunku, tetapi surat-surat beracun ini dikatakan diedarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sekarang ini juga menjadi penyumbang kepada perbalahan kaum. PAS langsung tidak terlibat. 

Ya. Pada November 1985, pemimpin PAS telah diserang dan dibunuh di Mamali, angkara siapakah ini Yang Berhormat? 

Pada tahun 1987, orang-orang Melayu telah berpecah kerana UMNO dan ia tidak ada kaitan langsung dengan PAS. 

Saya percaya bahawa Timbalan Perdana Menteri juga boleh memperjelaskan benda ini kerana beliau juga terlibat dengan Team ‘B’ – Gua Musang, Jelebu, Bagan Serai, Jerantut tentu tahu cerita sebenarnya. Nasib baik PAS dapat satukan mereka di bawah payung Angkatan Perpaduan Ummah. Tentu kita juga masih ingat siapa yang menghina dan mencerobohi institusi kehakiman pada tahun 1988 sehingga Ketua Hakim Negara terpecat dan UMNO jugalah yang mengugut orang-orang China di dalam sesuatu perhimpunan yang dirancang untuk diadakan di Stadium Raja Muda pada tahun 1987, UMNO jugalah yang menjatuhkan maruah raja-raja dalam tahun 1992. Dalam tahun 1998 sekali lagi rakyat berpecah, angkara fitnah yang ditaja oleh UMNO dan Barisan Nasional. 

Saya juga meyakini bahawa rakyat negara ini …. 

Ya. Saya juga meyakini rakyat negara ini akan mengambil semangat hijrah yang baru kita sambut seminggu yang lepas untuk memulakan perubahan politik, daripada politik sempit berteraskan perkauman, kezaliman, tipu daya, kerakusan pemimpin dan perpecahan kepada satu sistem politik yang lebih adil, telus dan berorientasikan perpaduan, berlandaskan semangat kesatuan akidah Islam dan kecintaan kepada negara. Islam sendiri sedang diterima oleh umat Islam sebagai satu sistem menyeluruh bukan lagi terpengaruh dengan teori ‘politik suku, agama suku’ yang disuntik oleh para sekularis Barisan Nasional kerana itu ura-ura untuk membuang Islam daripada PAS telah mula kedengaran. Saya tahu bahawa tindakan itu pasti akan ditentang oleh umat Islam. 

Dewan yang mulia ini harus menyedari bahawa umat Islam sedang menolak politik perpecahan dan segala bentuk provokasi politik yang mendorong kepada perpecahan yang boleh melemahkan umat Islam. Kerana itulah untuk mempertahankan perpaduan ini umat Islam telah menyedari bahawa bukanlah dengan terus bersatu menyokong kezaliman dan penindasan akan mengekalkan perpaduan. 

Perpindahan minda, pendirian sikap dan perubahan undi daripada menyokong kezaliman Barisan Nasional kepada menyokong kebenaran dan keadilan yang dibawa oleh PAS dan Barisan Alternatif adalah tidak boleh diistilah sebagai perpecahan tetapi perbuatan keji yang terus menindas rakyat bawahan akan melahirkan perpecahan yang berterusan. Rakyat sebenarnya telah bersedia untuk berhijrah daripada bersatu di bawah payung kezaliman Barisan Nasional kepada perpaduan di bawah naungan kebenaran yang dibawa oleh PAS dan Barisan Alternatif. Semangat perpaduan dan kerjasama kaum Muhajirin dan Ansar, saya percaya sedang ditelani dan akan diterjemahkan seterusnya oleh umat Islam di  negara ini. 

Tuan Yang di-Pertua, akhir sekali saya ingin menyebut tentang Enekman-Enakmen Pengawalan Akidah 2000, Negeri Perlis yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Perlis baru-baru ini. Enekman-Enakmen ini adalah sangat bercanggah dengan undang- undang syarak dan ianya bukanlah undang-undang Islam. Adakah dengan kita mengambil tindakan menahan orang yang ingin keluar daripada Islam selama setahun di pusat pemulihan akidah dan jika gagal dipulihkan lalu Mahkamah Tinggi Syariah perlu mengisytiharkannya sebagai bukan lagi orang Islam, sebagai satu pencegahan murtad. Ini adalah satu lesen untuk membolehkan hukuman Islam murtad secara sah mengikut undang-undang. 

Apakah setelah setahun ditahan lalu diisytiharkan sebagai murtad dianggap pencegahan dan pengawalan. Ini adalah pengikhtirafan- pengiktirafan kerajaan terhadap kemurtadan dan umat Islam di negara ini. Tidak ada penghukuman yang dikenakan. Sedangkan Islam telah menetapkan hukuman bunuh ke atas orang yang murtad, saya harap kerajaan boleh merujuk Al-Quran dalam Surah Al-Maidah dalam ayat 21, dan Al-Baqarah dalam ayat 217, seperti mana juga disebut oleh Ibnu Al-Humam dalam Sarah Fatil Al-Khadir, jilid 4 halaman 407, bahawa orang yang menukar agama daripada Islam kepada bukan Islam mesti dibunuh berdasarkan kepada hadis nabi yang menyebut antara lain maksudnya,"Barang siapa menukar agama, maka bunuhlah ia." 

Hadis ini adalah hadis yang sahih, diriwayatkan oleh semua perawi hadis kecuali Imam Muslim. Ini hadis yang sangat kuat, saya tidak tahu, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis, dia ambil riwayat mana. Mungkin dia ambil riwayat Ibnu Kasim Baba.

Saya menyeru Menteri Besar Perlis untuk mengadakan muzakarah secara terbuka dengan para mufti kerajaan dan ahli-ahli akademi Islam untuk membuktikan bahawa enekmen-enakmen ini selaras dengan kehendak syarak. Beliau tidak perlu berbangga kerana berjaya membawa dan meluluskan undang-undang ini di DUN Perlis. Tetapi beliau sepatutnya merasa hina dan malu kerana membuat undang-undang yang sangat bercanggah dengan Al-Quran dan sunnah hadis Nabi s.a.w., dan merugikan masa depan umat  Islam. 

Saya juga meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri agar menarik balik gesaan beliau supaya semua negeri menerima pakai undang-undang tersebut. Ini adalah hudud UMNO rupanya. Apa yang berlaku di Perlis adalah tamparan hebat kepada umat Islam kerana ianya diluluskan ketika umat Islam sedang menyambut tahun baru hijrah. Sekianlah sahaja, dan saya mengharap ucapan saya ini akan mendapat perhatian daripada kerajaan.